F.A.Q
Soalan-soalan Lazim
1. Kemanakah saluran dana dimanfaatkan oleh YWM?
Jawapan : Dana akan dimanfaatkan ke :
- Pembiayaan pembinaan institusi agama seperti masjid,surau, sekolah agama, kemudahan umum masyarakat Islam, penyelenggaraan bangunan institusi-institusi agama dan sebagainya.
- Pembiayaan bantuan sosial untuk umat Islam seperti bantuan anak yatim, bantuan bencana, bantuan pendidikan, program pembangunan insan, bantuan kesihatan, pemulihan akhlak dan sebagainya.
- Pembiayaan pembangunan ekonomi ummah seperti pembinaan, tempat perniagaan baru atau pembelian premis perniagaan sedia ada di lokasi-lokasi strategik supaya masyarakat Islam berpeluang untuk berniaga di tempat-tempat seperti ini.
2. Apakah faedah untuk pewakaf ?
Jawapan : WAKAF adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan sahaja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ’sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.
3. Adakah waqaf tunai mendapat potongan / rebet cukai dari LHDN?
Jawapan : Untuk jangkamasa terkini, YWM masih lagi berusaha untuk mendapatkan skim potongan cukai dari LHDN.
4. Apa pandangan ulama tentang waqaf tunai?
Jawapan : Hukum waqaf tunai adalah sunat yang dituntut.
(Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu - Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah DIBOLEHKAN dalam Islam.
5. Waqaf tunai untuk siapa?
Jawapan : Untuk memajukan sosio ekonomi ummah amnya dan juga dapat mengeratkan ukhwah wujudnya sifat berwakaf dan saling menbantu sesama Islam.
6. Kenapa ada nilai RM10 untuk berwakaf?
Jawapan : Nilai yang dikenakan adalah bertujuan untuk memudahkan pengurusan. Sebenarnya tiada had minima atau maksima untuk berwakaf.
7. Siapakah pemegang amanah YWM?
Jawapan : Seramai 18 orang tokoh terkemuka daripada pelbagai latarbelakang menganggotai LPA YWM dengan dipengerusikan oleh YB Menteri Jabatan Perdana Menteri sementara Y.Bhg. Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berperanan sebagai Timbalan Pengerusi. Selebihnya iaitu seramai 16 orang ahli yang lain terdiri daripada wakil setiap M.A.I.N, wakil agensi kerajaan dan tokoh korporat.
8. Apakah pandangan dari segi syariah tentang wakaf?
Jawapan :
Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha (selain Hanafi).
Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah S.W.T
Wakaf merupakan tuntutan al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat.
Falsafah wakaf :
- Untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
- Untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T
- Menghapuskan sifat bakhil
- Mendapatkan harta berterusan
- Memberi kebaikan kepada ummah
- Pembangunan / kegunaan anak-anak yatim, orang miskin dan sebagainya
- Menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan
